Hazama tidak patah semangat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Hazama tidak pernah menganggap kegagalannya untuk memenangi anugerah sepanjang tempoh lapan kali bersaing pada Anugerah Juara Lagu (AJL) sebagai sesuatu yang mampu mematahkan semangatnya dalam bidang muzik.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 42, yang kembali berentap di pentas AJL40 pada 15 Ogos lalu menerusi lagu Semacam Pandora berkata, mara ke pentas akhir acara berprestij itu juga satu pencapaian buatnya.

“Lapan kali atau 10 kali sekalipun, saya okey sahaja. Belum ada rezeki saya untuk berada di podium AJL.

“Sebagai penyanyi, perkara itu tak mematahkan semangat kerana saya menyanyi dan menghasilkan lagu untuk orang dengar. Bila dapat masuk AJL, itu satu bonus dan kemenangan buat saya,” katanya.

Hazama berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Suka Showcase @ SEA bersama penyanyi Hazama dan Black Hanifah di sebuah hotel di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, kata Hazama, lapan kali penyertaannya di AJL turut memperlihatkan perkembangan dirinya daripada sekadar menyanyikan karya orang lain sehingga akhirnya tampil dengan lagu ciptaan sendiri.

“Kalau tengok perjalanan saya dalam AJL, memang ada evolusi. Kali pertama, saya menyanyikan lagu ciptaan orang lain bersama Datuk Amy Search, kemudian, menyanyikan karya orang lain dan selepas itu mula berkolaborasi dengan komposer.

“Kali kelapan pula, saya bertanding dengan lagu sendiri. Jadi bagi saya, dalam AJL saya bukan bersaing dengan orang lain tetapi dengan diri sendiri dan kualiti,” katanya.

Diminta mengulas pujian sempena persembahannya pada AJL40 pula, kata Hazama, dia meluahkan rasa syukur apabila persembahan minimalisnya menerusi lagu Semacam Pandora itu mendapat pujian di media sosial.

Katanya, konsep minimalis dipilih kerana mahu memberi ruang kepada penonton untuk memberikan tumpuan kepada lagu, vokal dan persembahannya tanpa terlalu bergantung kepada prop atau gimik.

“Saya memang mahu buat persembahan seperti itu untuk penonton yang sukakan sesuatu yang lebih santai dan mahu fokus kepada lagu.

“Bagi saya, ini AJL, jadisaya mahu orang fokus kepada lagu dan apa yang saya boleh berikan sebagai penyanyi,” katanya.

Ditanya sama ada konsep minimalis pada AJL40 kerana kekangan bajet pula, kata Hazama, dia turut menolak dakwaan terbabit.

“Sudah tujuh kali saya buat macam-macam dan kali kelapan ini saya cuba ‘work smart’ pula. Mungkin kali kesembilan nanti saya buat konsep ‘work hard’ dan ‘work smart’ sekali, kita tak tahu.

“Yang penting, saya cuma mahu beri variasi kepada persembahan di AJL. Menang itu bonus, kalau kalah itu perkara biasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top