London: Rekod tanpa kalah Arsenal di laman sendiri akhirnya lebur selepas tewas tipis 2-3 kepada Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi semalam.
Walaupun mendahului hasil permulaan cemerlang selama setengah jam pertama sebelum bangkit menyamakan kedudukan lewat permainan, skuad The Gunners akhirnya kecewa susulan jaringan Matheus Cunha dari luar kotak penalti di hujung perlawanan.
Kekalahan itu hanya yang ketiga dialami Arsenal dalam semua pertandingan daripada 35 perlawanan musim ini, namun ia tetap sukar diterima oleh tonggak utama, Bukayo Saka.
“Saya rasa kami tidak mempamerkan tahap terbaik sepanjang perlawanan dan itu mengecewakan,” katanya.
“Ini satu perlawanan besar dengan banyak pertaruhan. Sudah tentu Emirates adalah gelanggang yang sangat kebal buat kami musim ini.
“Ia satu kekalahan yang sukar diterima, tetapi kami perlu terus bersatu. Minggu depan kami turun semula dan akan cuba kembali ke landasan kemenangan.
“Dalam bola sepak, anda boleh menjaringkan gol dan anda juga boleh dibolosi – yang penting adalah reaksi selepas itu. Sudah tentu kami mahu mendahului 2-0, tetapi kami gagal melakukannya. Secara keseluruhan kami tidak terlalu gembira dengan prestasi dipamerkan.”
Jelas, tiada masa untuk Arsenal meratapi kekalahan itu kerana aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) akan kembali awal pagi Khamis ini apabila mereka melayan kunjungan Kairat.
Arsenal sudah layak automatik ke pusingan 16 terbaik di Eropah selepas mendahului kedudukan liga UCL hasil tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan awal.
Kemudian, satu lagi perlawanan EPL di tempat lawan menentang Leeds United berlangsung minggu depan, menyebabkan Saka menegaskan reaksi pasukan amat penting.
“Ya, betul. Perjalanan ini tidak sentiasa lancar, akan ada turun naik. Terpulang kepada kami untuk mempamerkan karakter pada minggu depan.
“Ia satu-satunya fokus kami sekarang. Kami tidak boleh mengubah keputusan itu, jadi kami perlu terus memandang ke hadapan menuju minggu seterusnya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




