SPRM hantar pegawai ke UAE dalami kepakaran AI, analisis kewangan

SPRM hantar pegawai ke UAE dalami kepakaran AI, analisis kewangan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhasrat menghantar pegawai ke United Arab Emirates Accountability Authority (UAEAA) bagi mempelajari dan mendalami kepakaran agensi itu khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) termasuk aplikasi teknologi dalam analisis kewangan dan siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan UAEAA dalam usaha pencegahan dan pembanterasan rasuah termasuk penggunaan AI dalam siasatan kewangan.

Katanya, kerjasama itu dijangka menyumbang kepada pengukuhan keupayaan agensi kedua-dua pihak dalam menangani isu tadbir urus, meningkatkan integriti sektor awam serta menyokong agenda pembangunan mampan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurutnya, SPRM juga bersedia menawarkan bantuan dan kerjasama kepada UAEAA dalam apa jua bidang diperlukan termasuk aspek penguatkuasaan, perisikan dan pencegahan rasuah.

Majlis Menandatangani MoU antara SPRM dan UAEAA dimeterai oleh Azam serta Pengerusi UAEAA, Humaid Abushibs dan disaksikan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim di Abu Dhabi pada Ahad lalu.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pertukaran maklumat, pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran serta amalan terbaik dalam pencegahan dan pembanterasan rasuah, selaras dengan standard dan amalan antarabangsa.

Kedua-dua pihak menzahirkan penghargaan terhadap hubungan erat Malaysia dan UAE yang terjalin sejak sekian lama dan terus berkembang dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi serta tadbir urus menjadi asas penting kepada peluasan kerjasama antara SPRM dan UAEAA menghadapi cabaran semakin kompleks dan bersifat rentas sempadan.

Terdahulu Azam mengadakan pertemuan dengan Humaid Abushibs bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan kerjasama antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) khususnya dalam bidang pengurusan integriti, pencegahan rasuah, audit, akauntabiliti sektor korporat serta penggunaan teknologi dalam penguatkuasaan.

UAEAA adalah badan tertinggi akauntabiliti dan ketelusan di UAE yang melapor secara langsung kepada kepimpinan tertinggi negara dengan peranan utama untuk melindungi dana awam serta meningkatkan tahap akauntabiliti melalui dua sektor utama iaitu sektor pencegahan rasuah dan sektor audit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top