Polis siasat cubaan bakar premis di pekan Beaufort

Polis siasat cubaan bakar premis di pekan Beaufort

am@hmetro.com.my

Beaufort: Polis menyiasat cubaan khianat dengan api terhadap sebuah kedai di Wisma Arjuna Holding di sini, selepas seorang lelaki tidak dikenali dipercayai membaling objek terbakar ke arah pintu premis berkenaan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort Superintendan Wong Leong Meng berkata, dalam kejadian antara jam 1.45 hingga 2 pagi itu, pemilik premis berusia 43 tahun dimaklumkan oleh pekerjanya mengenai insiden berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba, pemilik premis terbabit mengesan bau minyak petrol di luar premis serta kesan hangus, namun tiada kebakaran besar atau kerosakan serius berlaku.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali berada di hadapan premis berkenaan.

“Rakaman itu memaparkan suspek menaiki Toyota Vios berwarna perak sebelum membaling objek terbakar ke arah pintu premis sambil memegang sebilah pisau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wong berkata, pemilik premis tidak mengenali individu terbabit dan tidak mengesyaki mana-mana pihak, selain memaklumkan tidak mengalami kerugian besar kecuali kesan terbakar pada pintu hadapan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat serta tiada saksi awam dikenal pasti, namun siasatan diteruskan bagi mengesan suspek dan motif kejadian.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top