Pierre Gasly jadi pelumba F1 pertama labur dalam pasukan KTM Tech3

Pierre Gasly jadi pelumba F1 pertama labur dalam pasukan KTM Tech3

Paris: Pelumba Formula Satu, Pierre Gasly kini menjadi pelumba F1 aktif pertama yang melabur dalam pasukan MotoGP selepas mengambil bahagian dalam konsortium yang memperoleh pemilikan penuh pasukan Red Bull KTM Tech3.

Gasly mengumumkan pelaburan itu bersama-sama beberapa pelabur dari Amerika Syarikat, termasuk David Blitzer dan Main Street Advisors, di bawah pengurusan Guenther Steiner, bekas ketua pasukan Haas F1 yang kini menjadi CEO pasukan KTM Tech3. Richard Coleman dilantik sebagai pengurus pasukan.

Gasly yang memandu untuk pasukan Alpine berkata, dia yakin dengan kekuatan jenama Tech3 dan potensi jangka panjang sukan MotoGP.

“Saya percaya dengan kekuatan jenama Tech3 dan pertumbuhan jangka panjang sukan MotoGP. Saya berharap dapat menyumbang untuk meningkatkan lagi profil pasukan,” katanya.

Musim MotoGP 2026 dijadual bermula pada 1 Mac depan di Thailand, dengan Gasly mensasarkan untuk memberi impak positif bukan saja dari segi pelaburan tetapi juga perkembangan pasukan.

Langkah ini menjadikan Gasly sebagai pelumba F1 aktif pertama yang menyeberang ke dunia MotoGP dari segi pelaburan, menandakan hubungan yang semakin erat antara dua sukan permotoran utama dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top