Presiden Myanmar lawat Laos, giat raih pengiktirafan ASEAN

Presiden Myanmar lawat Laos, giat raih pengiktirafan ASEAN

YANGON: Ketua junta Myanmar yang kini menjadi Presiden, Min Aung Hlaing, tiba di Laos semalam bagi lawatan rasmi pertamanya ke sebuah negara anggota ASEAN sejak mengambil alih jawatan sebagai ketua kerajaan awam, menurut pegawai.

Min Aung Hlaing mencetuskan perang saudara di Myanmar pada 2021 apabila mengetuai rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi.

Beliau kemudian menahan Suu Kyi sekali gus menamatkan eksperimen demokrasi yang berlangsung selama sedekad di negara itu.

Beliau memerintah Myanmar secara langsung sebagai ketua tentera selama lima tahun sebelum dilantik sebagai presiden awam pada April lalu susulan pilihan raya yang diadakan tanpa penyertaan kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak, selain mengecualikan parti pimpinan Suu Kyi dan memenjarakan golongan pembangkang.

Penganalisis berkata, pentadbiran baharu Aung Hlaing kini giat mendapatkan pengiktirafan antarabangsa, termasuk daripada blok 11 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), yang sebahagian besarnya ‘memulaukan’ Myanmar sejak rampasan kuasa pada 2021.

Aung Hlaing tiba di negara jiran, Laos, pada pagi Jumaat bersama isterinya, Kyu Kyu Hla, menurut gambar yang dikongsi oleh pasukan penerangan presidennya.

Media tempatan Laos melaporkan, lawatan rasmi negara itu dijadual berlangsung selama tiga hari.

Dalam kenyataan awal minggu ini, pejabat Aung Hlaing memaklumkan beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Laos, Thongloun Sisoulith, dan Perdana Menteri, Sonexay Siphandone.

Menurut kenyataan itu, Presiden Myanmar akan mengadakan pertukaran pandangan secara terbuka dan mesra bagi memperkukuh hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Lawatan ke Laos merupakan lawatan luar negara ketiga Aung Hlaing sejak mengambil alih jawatan sebagai presiden awam. Jun lalu, beliau mengadakan lawatan rasmi ke India dan China.

Penganalisis berpandangan, kesepakatan dalam kalangan negara anggota ASEAN berhubung pendekatan terhadap pentadbiran baharu Myanmar semakin berpecah.

Beberapa negara dilihat terbuka untuk menyambung semula hubungan dengan Myanmar susulan beberapa langkah yang dianggap sebagai kelonggaran oleh pentadbiran baharu, termasuk arahan peribadi Aung Hlaing baru-baru ini supaya Suu Kyi, 81, dipindahkan daripada penjara ke tahanan rumah.

Bagaimanapun, penganalisis berkata, terdapat juga negara anggota ASEAN yang masih berpegang kepada pendirian individu yang mengetuai rampasan kuasa tentera pada 2021 itu masih kekal menerajui pemerintahan Myanmar.- AFP

 

Scroll to Top