Beijing/Taipei: China pada Sabtu memaklumkan pihaknya melancarkan rondaan baharu Pengawal Pantai di timur Taiwan bagi menggantikan pasukan terdahulu yang kehadirannya di perairan berhampiran pulau itu mencetuskan bantahan Taipei dan kebimbangan beberapa negara Barat.
Tentera China hampir setiap hari menjalankan operasi di sekitar Taiwan yang dianggap Beijing sebagai wilayahnya sendiri.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini China semakin menggunakan Pengawal Pantai bagi menguatkuasakan tuntutan wilayahnya menerusi pendekatan yang disifatkan Taiwan sebagai ‘lawfare‘, iaitu penggunaan undang-undang bagi mengukuhkan tuntutan Beijing.
Pengawal Pantai China dalam satu kenyataan berkata armada baharu itu akan menjalankan rondaan penguatkuasaan undang-undang di kawasan berkenaan serta memperkukuh rondaan di perairan yang didakwanya berada di bawah bidang kuasa China.
Menurut kenyataan itu, rondaan berkenaan bertujuan mempertahankan kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritim China.
Pengawal Pantai Taiwan berkata, pihaknya sedang menjejaki dua kapal China dan mengerahkan dua kapal sendiri untuk belayar bersebelahan serta memantau pergerakan kapal berkenaan.
Sehingga pertengahan pagi, kedua-dua kapal China berada kira-kira 54 batu nautika di timur Hualien yang menempatkan sebuah pangkalan udara utama, namun masih berada di luar perairan larangan.
Pengawal Pantai Taiwan menegaskan pihaknya akan terus mengambil semua langkah yang perlu untuk mengusir kapal China yang mengganggu perairannya, mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keselamatan kawasan maritimnya.
Ini adalah kali kedua dalam tempoh kira-kira sebulan China menghantar kapal Pengawal Pantai ke perairan di timur Taiwan, sekali gus berisiko meningkatkan lagi pertikaian diplomatik yang turut menarik perhatian Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan Britain.
China sebelum ini berkata operasi pertama pada Jun dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pengumuman Jepun dan Filipina untuk memulakan rundingan rasmi berhubung sempadan maritim mereka, yang menurut Beijing membabitkan perairan China berhampiran Taiwan.
Pada Rabu, Taiwan mengarahkan kapal negara itu yang berada di perairan timur supaya mengabaikan sebarang arahan pemeriksaan atau pemeriksaan fizikal oleh Pengawal Pantai China, dan jika perlu kapal Pengawal Pantai Taiwan akan campur tangan bagi menghalangnya.
China tidak mengiktiraf sebarang tuntutan kedaulatan Taiwan, manakala Taiwan menegaskan Beijing tidak mempunyai hak menuntut kedaulatan atau bidang kuasa ke atas pulau itu mahupun perairannya.
Pada Khamis, Kementerian Sumber Asli China menerbitkan satu pendapat perundangan dalam bahasa Inggeris berhubung rundingan sempadan maritim Jepun dan Filipina.
Menurut dokumen itu, kedua-dua negara perlu berunding dengan China berhubung isu berkenaan dan bukan dengan Taiwan, selain menggesa negara lain supaya tidak membantu Jepun dan Filipina dalam perkara tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




