Keramahan rakyat Malaysia, makanan tambat hati pelancong

Keramahan rakyat Malaysia, makanan tambat hati pelancong

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keramahan rakyat Malaysia dan aneka makanan antara faktor mendorong pelancong asing melawat negara ini.

Selain itu kebolehan rakyat Malaysia memahami bahasa Inggeris dan bertutur menyebabkan Malaysia pilihan rata-rata pelancong.

Rumusan ini dibuat selepas beberapa pelancong yang didekati memberitahu Malaysia menarik untuk diteroka kerana keistimewaan berkenaan, seperti kata Adil Geziyor, 61, dari Turkiye yang memaklumkan, rakyat Malaysia yang mudah tersenyum dan sentiasa menjawab segala pertanyaan diajukan dengan baik menambat hatinya.

Adil yang merupakan seorang YouTuber turut menganggap Malaysia mempunyai pelbagai lokasi menarik, selain bangunan dengan senibina indah seperti masjid.

Selain itu katanya, makanan yang enak daripada pelbagai bangsa antara sebab dirinya melancong ke negara ini.

“Saya sudah melawat 44 negara. Saya akan berada di negara ini selama seminggu. Faktor makanan dan rakyat yang sentiasa tersenyum menyebabkan saya melancong ke sini.

“Faktor itu jugalah dorong saya menghasilkan video dan akan berkongsi di saluran YouTube saya nanti,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Adil yang pernah berkhidmat bersama sebuah saluran televisyen di Turkiye berkata, dia juga berhasrat untuk kembali lagi kerana mahu meneroka tempat lain dalam negara selain Lembah Klang.

Pelancong dari Yaman yang hanya mahu dikenali sebagai Anas, 20, turut menyatakan rakyat Malaysia yang ramah menyebabkannya melancong ke negara ini.

“Mereka sangat ramah, disebabkan itu saya melancong ke sini bersama rakan saya. Saya juga suka dengan cuaca panas dan hujan yang ada di Malaysia.

“Sudah tentu, saya akan datang semula ke negara ini kerana Malaysia mempunyai pelbagai destinasi menarik dan keunikan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini dilapor menetapkan sasaran kehadiran 47 juta pelancong antarabangsa dan pendapatan RM329 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta untuk promosi dan penganjuran acara serta RM50 juta lagi bagi menyokong penggiat seni dan warisan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top