Meninggal dalam wuduk, pulang dari tanah suci, wajah Allahyarham Jamilah sangat berseri

Meninggal dalam wuduk, pulang dari tanah suci, wajah Allahyarham Jamilah sangat berseri

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya melihat wajah arwah berseri dan sangat bersih,” kata pengurus jenazah, Mohd Azman Mat Jusoh mengenai jemaah umrah wanita yang meninggal dunia di dalam pesawat ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air, kelmarin.

Allahyarham Jamilah Yusoff, 73, dikatakan meninggal dunia dalam keadaan berwuduk untuk menunaikan solat Subuh di dalam pesawat berkenaan, beberapa jam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1).

Warga emas terbabit antara 40 jemaah yang mengikuti pakej sebuah syarikat umrah dan pelancongan ke Tanah Suci, kira-kira dua minggu lalu.

Mohd Azman daripada AJ Pengurusan Jenazah itu berkata, dia menerima panggilan mengenai kematian jemaah terbabit daripada seorang ahli keluarganya pada hari kejadian.

“Adik arwah meminta bantuan saya menguruskan jenazah kakaknya yang mahu dibawa pulang ke kampung halaman di Kota Bharu, Kelantan.

“Jenazah diuruskan oleh pihak pengurusan syarikat umrah dan ahli keluarganya sebelum dibawa ke Hospital Cyberjaya. Bahagian pengurusan kami kemudian mengambil alih urusan mandi, kafan dan solat jenazah sebelum dibawa ke Kelantan,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohd Azman tersentuh hati apabila 39 jemaah yang menunaikan umrah bersama arwah meminta keluarga menunggu ketibaan mereka untuk melihat wajah arwah buat kali terakhir sebelum dikebumikan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat arwah sangat disenangi semua jemaah dan gembira sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya difahamkan arwah mendapat tajaan pakej umrah oleh adik kandungnya sendiri dan pergi menunaikan ibadah itu bersama orang sekampung serta beberapa saudara-mara lain.

“Menurut jemaah lain, sepanjang arwah berada di sana (Tanah Suci), sihat saja walaupun sebelum ini dia kurang sihat dan sukar berjalan kerana faktor usia. Tapi dia mampu menjalani ibadah dengan baik dan sempurna,” katanya.

Ditanya mengenai keperibadian Jamilah sehingga pemergiannya disifatkan husnul khatimah katanya, dia dimaklumkan arwah sangat menjaga solat.

“Keluarga memberitahu arwah juga sangat baik dengan semua ahli keluarga dan lembut.

“Saya juga membantu menguruskan jenazah arwah secara percuma dan tidak meminta sebarang bayaran daripada keluarganya,” katanya yang turut menghantar jenazah ke kampung halaman dan tiba kira-kira jam 1 pagi semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top