Kuala Lumpur: Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hari ini membuat penerangan mengenai tujuan sebenar beliau hadir dan menerjah institusi-institusi pendidikan selepas mengambil tampuk kepimpinan agensi kerajaan itu.
Beliau turut menafikan kehadirannya itu bukan untuk mencari kesalahan tetapi hanya untuk menambah baik sekiranya terdapat infrastruktur yang tidak baik.
Katanya, ia juga menjadi satu amanah yang perlu dilaksanakan pihaknya.
“Tujuan saya #Terjah bukan untuk cari kesalahan, tetapi untuk penambahbaikan. Ini adalah amanah untuk pastikan setiap sen duit MARA dibelanjakan dengan betul dan berkesan,” katanya di Facebooknya, di sini hari ini.
Asyraf Wajdi menjadi terkenal di media sosial selepas melakukan aktiviti terjah khususnya di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sejak dilantik menjadi Pengerusi agensi itu sejak 10 Mac 2023.
Tindakannya itu meraih pujian ramai kerana mengambil tahu isu yang berlaku dalam maktab berkenaan khususnya dalam kebajikan pelajar-pelajar.
Asyraf dalam Facebooknya, hari ini turut berkongsi bagaimana aktiviti itu memperbetulkan infrastruktur di sebuah institusi pendidikan di Pahang, apabila peruntukan oleh MARA disalurkan dengan segera.
“Alhamdulillah, peruntukan segera yang saya umumkan untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas yang rosak juga sudah disalurkan.
“Terima kasih kepada Bahagian Pendidikan Menengah MARA yang pantas ambil tindakan hanya dua hari selepas saya turun terjah mengejut ke MRSM TGS Kuala Lipis hari Rabu lalu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




