Warga asing ugut sebar video, gambar kenalan wanita

Warga asing ugut sebar video, gambar kenalan wanita

am@hmetro.com.my

Tawau: Polis menahan seorang lelaki warga asing kurang 24 jam selepas disyaki mengugut mahu menyebarkan video dan gambar peribadi seorang wanita di Kampung Merotai Besar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 5.45 petang.

Beliau berkata, tangkapan susulan laporan seorang wanita berusia 20-an kira-kira jam 10.35 pagi yang mendakwa menerima ugutan daripada bekas kenalannya melalui beberapa nombor telefon dengan ancaman akan menularkan video dan gambar peribadi mangsa sekiranya tidak menyerahkan sejumlah wang.

“Berdasarkan laporan itu, suspek dipercayai kerap menghubungi mangsa pada waktu malam dengan tujuan mengganggu serta merosakkan keharmonian rumah tangga mangsa.

“Disebabkan takut bahan peribadi itu disebarkan, mangsa mendakwa terpaksa memberikan sejumlah wang kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Jasmin berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek turut menemukan sebilah pisau sepanjang kira-kira 16 sentimeter serta dua unit telefon bimbit di dalam sebuah beg sandang yang dipercayai digunakan semasa melakukan ugutan berkenaan.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top