Crans-Montana: Peluncur muda Switzerland, Malorie Blanc melonjakkan harapan tuan rumah menjelang Sukan Olimpik Milano Cortina selepas meraih kemenangan sulung Piala Dunia apabila menjuarai acara super-G wanita di Crans-Montana, hari ini.
Kejayaan di laman sendiri itu menjadi kemenangan pertama Piala Dunia buat Blanc dalam perlumbaan terakhir wanita sebelum tirai Olimpik dibuka minggu depan.
Peluncur Itali, Sofia Goggia yang juga pendahulu carta super-G Piala Dunia terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala juara dunia downhill 2025 dari Amerika Syarikat, Breezy Johnson menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Legenda ski Amerika Syarikat, Lindsey Vonn tidak mengambil bahagian dalam perlumbaan itu selepas dikejarkan ke hospital semalam akibat terjatuh dan mengalami kecederaan lutut kiri dalam acara downhill yang kemudian dibatalkan.
Malorie, 22, yang sebelum ini hanya pernah menaiki podium sekali apabila menduduki tempat kedua acara downhill di St Anton tahun lalu, bermula dengan nombor 17 sebelum mencatat masa terpantas satu minit 17.34 saat.
Sofia yang memimpin seketika selepas memulakan perlumbaan dengan nombor 13, ketinggalan 0.18 saat di belakang Blanc, manakala Johnson yang bermula dari nombor 29 mencuri tumpuan apabila memintas Roberta Melesi dari Itali untuk meraih podium pertamanya musim ini.
Pelumba Itali, Laura Pirovano hampir mencipta kejutan selepas bermula dengan nombor 20 dan berada di depan catatan masa, namun terlepas satu pintu berhampiran garisan penamat.
Pelumba Jerman, Kira Weidle-Winkelmann menamatkan perlumbaan di tempat kelima, manakala Alice Robinson dari New Zealand kembali menemui rentak apabila berada di kedudukan keenam selepas beberapa kegagalan menamatkan perlumbaan sebelum ini.
Bintang Itali, Federica Brignone meneruskan kebangkitan selepas kecederaan dengan menduduki tempat ke-18 keseluruhan.
Wakil Jerman, Emma Aicher yang menjuarai acara super-G di Tarvisio sebelum ini, terjatuh di lokasi sama seperti Vonn semalam namun berjaya bangkit dan menamatkan perlumbaan.
Peluncur Perancis, Laura Gauche pula terjatuh di kawasan penamat selepas melepasi garisan, dengan beg udara keselamatannya mengembang ketika melanggar jaring pelindung, namun dia turut tidak mengalami kecederaan serius.
© New Straits Times Press (M) Bhd




