georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Nabila Huda bakal menjalani fisioterapi susulan mengalami ‘slipped disc’ atau gelinciran cakera pada pertengahan Disember tahun lalu sehingga memberi kesan kepada pergerakannya.
Nabila atau mesra disapa Abil, 42, bagaimanapun bersyukur kesakitan belum sampai tahap yang memerlukannya membuat pembedahan, tetapi harus berhati-hati dalam pergerakannya ketika ini.
“Doktor cakap hanya perlu buat fisioterapi saja buat masa sekarang. Saya takkan pergi sampai tahap buat pembedahan dan doktor pun cakap boleh saja, cuma kena rajin pergi fisioterapi.
“Sekarang kalau saya penat, saya akan duduk, tak berdiri lama-lama. Saya juga tidak buat kerja berat-berat dan minta tolong sesiapalah kalau perlu angkat barang berat.
“Saya agak lambat mulakan fisioterapi kerana sangat sibuk dengan jadual kerja. Tapi saya sudah buat temujanji pada 13 Februari nanti,” katanya ketika ditemui di Pesta Raya TVS, baru-baru ini.
Pelakon filem Gayong itu berkongsi kesakitan akibat ‘slipped disc’ mungkin berpunca daripada kemalangan jalan raya yang dialaminya lebih 10 tahun lalu sehingga memberi kesan kepada tulang belakangnya.
“Ingat tak dulu saya pernah kemalangan? Kemudian saya pernah pergi X-Ray, doktor memang cakap ada sedikit masalah pada tulang belakang, tapi masa itu saya muda dan tak ambil serius.
“Kemudian tempoh hari sewaktu sibuk teater Mas Mona, suatu hari saya bangun tidur, tiba-tiba pinggang terlalu sakit gila. Saya kena pegunkan diri sekejap dan barulah cuba berjalan,” katanya.
Katanya, disebabkan insiden itu, dia memutuskan untuk ke hospital melakukan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) bagi mengetahui lanjut keadaan atau hal-hal lain yang dialaminya.
“Sebenarnya imbas semula, masa kemalangan itu, doktor pun cakap sampai masa akan ‘trigger’ (pencetus) berdasarkan X-Ray. Kemudian saya pergi MRI, doktor kata ada ‘slipped disc’ pada L5,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




