Dr Fie syukur dikurniakan rezeki tak disangka, urusan dipermudah

Dr Fie syukur dikurniakan rezeki tak disangka, urusan dipermudah

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, Allah kurniakan rezeki tidak disangka-sangka tepat pada waktunya,” kata pempengaruh, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.

Afifah atau lebih mesra disapa Dr Fie meluahkan rasa syukur apabila urusan perpindahannya ke kediaman baharu bersama anak-anak dipermudahkan hasil bantuan kenalan serta pengikut di media sosial.

Bekas isteri penyanyi, Ahmad Nubhan itu berkata, dia berasa lega apabila segala urusan mendapatkan rumah, barangan keperluan mahupun perabut selesai sebelum sesi persekolahan anak-anak bermula pada 12 Januari lalu.

“Ketika itu semuanya perlu dibuat dengan cepat kerana anak-anak akan mula bersekolah. Saya perlukan penyelesaian pantas.

“Kami tidak mempunyai wang tunai yang banyak untuk melengkapkan rumah dalam masa singkat, termasuk persiapan sekolah anak. Saya fikir tak mengapa jika barang bukan baharu, asalkan boleh digunakan,” katanya kepada Harian Metro.

Afifah, 36, yang ditemui pada program Doa Dari Hati: Saat Jiwa Mencari Tenang, Tuhan Membuka Jalan, di sini, hari ini menganggap segala yang berlaku adalah aturan daripada Allah SWT buat dirinya dan keluarga.

“Sejujurnya, saya lebih selesa membayar daripada menerima barang secara percuma, tetapi Allah memudahkan segalanya.

“Urusan rumah juga sangat cepat, biasanya mana ada orang boleh masuk rumah dalam sehari dua, tetapi bagi saya ia dipermudahkan walaupun di saat akhir,” katanya.

Selain kediaman, Afifah turut bersyukur apabila kini memiliki kenderaan baharu untuk kegunaan harian bersama anak-anak.

“Walaupun rumah masih dalam proses mengemas, anak-anak sudah selesa ke sekolah. Allah juga beri rezeki tidak disangka apabila saya menerima kereta baharu.

“Apa yang penting anak-anak dapat bersekolah dengan baik, namun Allah beri lebih daripada yang diminta,” katanya.

Terdahulu, Afifah menerusi media sosial berkongsi mengenai perpindahannya dan memohon jasa baik orang ramai yang ingin melepaskan barangan terpakai (preloved) seperti meja makan, televisyen dan perabut lain untuk kegunaan rumah baharunya itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top