NFL kembali ke Bernabeu 2026, perluas siri antarabangsa

NFL kembali ke Bernabeu 2026, perluas siri antarabangsa

Madrid: NFL merancang untuk kembali ke Stadium Santiago Bernabeu di Madrid bagi satu perlawanan musim biasa pada 2026, menurut kenyataan liga itu, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk mengembangkan saingan di peringkat antarabangsa.

Venue berkenaan, yang juga gelanggang kelab gergasi bola sepak Real Madrid, menjadi tuan rumah perlawanan NFL pertamanya pada November 2025 apabila Miami Dolphins menewaskan Washington Commanders 16-13 menerusi masa tambahan.

Perlawanan itu adalah sebahagian daripada siri tujuh perlawanan antarabangsa pada tahun berkenaan, dengan aksi lain berlangsung di London, Berlin, Dublin dan Sao Paulo.

Dalam usaha meluaskan jejak global serta menarik pasaran baharu, NFL merancang untuk meningkatkan jumlah perlawanan antarabangsa kepada sembilan pada 2026, dengan perlawanan disahkan di Melbourne, Rio de Janeiro, Mexico City, Munich, London dan kini Madrid.

Liga itu turut mensasarkan pertumbuhan di rantau baharu, dengan Australia dijadualkan menjadi tuan rumah perlawanan pertamanya di Melbourne, menampilkan Los Angeles Rams sebagai pasukan tuan rumah.

NFL juga komited menganjurkan tiga perlawanan musim biasa dalam tempoh lima tahun di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, bermula 2026.

Sejak 2013, Jacksonville Jaguars beraksi dalam satu perlawanan ‘tuan rumah’ tahunan di London, kecuali pada 2020, menerusi perjanjian berasingan di United Kingdom di luar siri antarabangsa utama NFL.

Pemilik-pemilik NFL mengundi pada Disember 2024 untuk menambah jumlah perlawanan di luar negara, dengan Pesuruhjaya Roger Goodell menyatakan hasrat melihat sehingga 16 perlawanan antarabangsa setahun dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top