Design kasut cantik, Raja Azmi tak jadi ambil tindakan undang-undang

Design kasut cantik, Raja Azmi tak jadi ambil tindakan undang-undang

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Mereka datang dari Kelantan berjumpa saya dan bawa kasut yang sudah siap. Bila tengok kasut ada depan mata, takkanlah saya nak cakap tak bolehkan?

“Lagipun design-design kasut itu memang cantik-cantik pula, jadi saya cakap okaylah teruskan,” kata penerbit dan pelakon, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Raja Azmi berkata demikian sebagai mengulas isu sebuah syarikat pengeluar kasut yang sebelum ini menggunakan logo Anak-Anak Sidek miliknya tanpa kebenaran.

Menurutnya, perkara ini selesai sepenuhnya menerusi pertemuan mereka pada pagi tadi dan dia berpuas hati dengan perbincangan yang dibuat.

“Saya pun beritahu setuju untuk kolaborasi. Menerusi perbincangan juga, saya lihat tawaran yang diberikan sangat memadai bagi kedua-dua belah pihak.

“Mereka pula kalangan budak-budak muda, anak-anak Melayu berniaga. Saya pun macam tak naklah gaduh-gaduh, tak payah saman. Kita sokong mereka.

“Ada pengajaran buat mereka dan semua. Sesiapa pun yang nak berniaga, pakai hak cipta ini kenalah minta izin. Saya benarkan mereka jual 3,000 kasut yang sudah siap,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, di sini.

Mengulas lanjut, Raja Azmi berkata, wakil syarikat terbabit memaklumkan mahu menghubunginya sebelum ini, namun berlaku salah faham di peringkat dalaman.

“Nasib baiklah saya pot pet (bising-bising) kat media sosial. Kalau tak bising, benda pun diam, terus hilang macam itu saja. Tahu-tahu dah jual sana-sini kan?

“Syukurlah ia berjaya diselesaikan dengan baik. Pemilik jenama itu sendiri datang jumpa saya bersama staff bahagian pemasaran. Ia akhirnya selesai.

“Harga kasut ini sekitar RM100 hingga RM200 dan ia akan dijual menerusi TikTok Live,” katanya.

Terdahulu, Raja Azmi melahirkan rasa kecewa apabila sebuah syarikat pengeluar kasut menggunakan logo Anak-Anak Sidek tanpa kebenarannya.

Beliau meminta mereka menghubunginya segera dan memberikan tempoh selama tujuh hari untuk mereka berbuat demikian.

Raja Azmi juga sudah menyiapkan surat tuntutan atau LOD terhadap pihak terbabit sekiranya mereka terus berdiam diri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top