am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Skim Pengembara yang menyediakan perlindungan sosial kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara khususnya di Singapura kini memasuki fasa akhir sebelum dilaksanakan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, berkata skim perlindungan itu yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 480,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari, akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang mula bersidang esok.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah menyiapkan kertas cadangan bagi skim berkenaan.
Katanya, ia kini dalam proses mendapatkan kelulusan yang diperlukan, yang dijangka selesai seawal Ogos ini sebelum skim itu dikuatkuasakan.
“Sidang Parlimen bermula esok, jadi kita akan memulakan pembentangan kertas cadangan itu.
“Kita juga akan mengadakan sesi libat urus dengan ahli-ahli Parlimen bagi menerangkan manfaat program ini.
“Selepas kertas cadangan itu mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, skim ini akan dilaksanakan secepat mungkin untuk dimanfaatkan oleh rakyat Johor yang berulang-alik bekerja antara Johor dan Singapura demi perlindungan sosial mereka,” katanya selepas merasmikan Karnival LINDUNG Kerjaya MADANI di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kadar pengangguran di Johor kekal rendah pada paras 2.4 peratus bagi suku pertama tahun ini, sekali gus mengatasi prestasi purata nasional yang direkodkan pada 2.9 peratus.
“Selain kadar pengangguran yang rendah, Johor turut merekodkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) sebanyak 71.6 peratus, melepasi kadar purata nasional iaitu 70.9 peratus.
“Prestasi positif ini didorong oleh pelbagai usaha pemadanan pekerjaan yang dilaksanakan menerusi portal MYFutureJobs serta kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan agensi berkaitan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




