mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi Luqman Podolski melancarkan single terbaru berjudul ‘Ayah’ hasil ciptaan komposer Kim Manul terbitan Sony Music Malaysia sempena sambutan Hari Bapa, hari ini.
Luqman atau Luqmanul Haqim Kamaruddin, 28, berkata, pendekatan lagu ini amat berbeza daripada kebanyakan lagu bertemakan ayah yang lazimnya mengangkat pengorbanan, kasih sayang dan kemuliaan seorang bapa.
“Lagu Ayah membawa pendekatan yang lebih berani dengan mengetengahkan sisi realiti kehidupan yang jarang diperkatakan.
“Ia mengisahkan pengalaman serta kesan emosi seorang anak yang ditinggalkan oleh ayah yang gagal memainkan peranan sewajarnya dalam sesebuah keluarga.
“Karya ini dihasilkan sebagai refleksi kepada realiti yang dialami oleh sebahagian masyarakat. Walaupun tema sebegini mungkin dianggap sensitif, ia adalah kisah yang wujud dan memberi kesan mendalam kepada ramai individu.
“Tidak semua orang mempunyai pengalaman indah bersama ayah mereka. Ada yang membesar dengan luka, kekecewaan dan kenangan yang sukar dilupakan. Lagu ini bukan bertujuan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi memberi ruang kepada mereka yang pernah melalui pengalaman tersebut untuk merasa didengari,” katanya.
Menurutnya, dalam dunia seni, sesebuah karya tidak seharusnya terhad kepada kisah-kisah bahagia atau mesej positif semata-mata.
“Sebaliknya, seni turut berfungsi sebagai medium untuk merakam realiti kehidupan, termasuk konflik emosi, cabaran keluarga dan pengalaman pahit yang membentuk perjalanan hidup seseorang.
“Pendekatan seperti ini bukanlah sesuatu yang asing dalam industri muzik antarabangsa. Ramai seniman terkenal dunia sering menggunakan karya mereka sebagai wadah untuk meluahkan perasaan, berkongsi pengalaman hidup serta membincangkan isu-isu sosial yang jarang diketengahkan secara terbuka, ” katanya.
Luqman yang sebelum ini tampil dengan beberapa single berkata, menerusi lagu Ayah, dia bukan sekadar mempersembahkan sebuah naskhah malah membuka ruang dialog berkenaan isu kekeluargaan yang sering dipendam dan tidak dibicarakan secara meluas.
“Karya ini membuktikan bahawa muzik bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, tetapi juga mampu menjadi cerminan kehidupan serta suara kepada mereka yang pernah melalui pengalaman yang sama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




