Pickleball perkukuh hubungan pengamal media, Bank Rakyat

Pickleball perkukuh hubungan pengamal media, Bank Rakyat

Kuala Lumpur: Penganjuran Pickleball Media Bank Rakyat 2026 di The Hood, di sini, malam tadi, mencerminkan komitmen Bank Rakyat dalam membina dan memperkukuh hubungan strategik jangka panjang bersama rakan media.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasinya, Nizam Sani berkata, melalui pendekatan libat urus yang lebih santai seperti ini, Bank Rakyat bukan sahaja mengeratkan hubungan kerjasama, malah mewujudkan ruang interaksi yang lebih terbuka dan membina.

Beliau berkata, pemilihan sukan pickleball yang kini semakin mendapat perhatian, membolehkan penyertaan lebih inklusif dan dinamik, sekali gus memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh kerjasama dalam suasana yang positif.

“Pada masa akan datang, Bank Rakyat akan terus melaksanakan inisiatif libat urus strategik bersama media melalui pendekatan yang relevan dan berimpak tinggi,” katanya.

Seramai 64 peserta dari kalangan pengamal media dan warga kerja Bank Rakyat menyertai

program yang julung kali diadakan itu.

Antara organisasi media yang mengambil bahagian adalah Berita Harian, TV3, New Straits Times, Harian Metro, TV9, Refleks, Suria FM, Hot FM, Utusan Malaysia, Kosmo, Makkal Osai, The Star, Bernama, RTM, Astro Arena, Free Malaysia Today, Sinar Karangkraf, Omnia, Influasia dan Siakap Keli.

Harian Metro diwakili Pengarang Berita Kanan (Sukan/Hiburan), Manan Samad dan Penolong Pengarang Hiburan, Wan Asrudi Wan Hasan manakala Bank Rakyat pula diketuai oleh Nizam.

Pertandingan itu diadakan bagi satu kategori sahaja iaitu beregu . Ia dimenangi oleh gandingan Astro Arena, Hanif Miswan dan Fathy Azlan, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 yang disampaikan Nizam

Naib juara menjadi milik wakil TV3, Hazwan Alias dan Syaheer Shahruddin dan ketiga, gandingan Johan dan Ozlynn mewakili HotFM. Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM800 dan RM500.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top