COVID-19: Kelantan kenal pasti 3 lagi lokasi buka PKRC

COVID-19: Kelantan kenal pasti 3 lagi lokasi buka PKRC

nfazlina@nstp.com.my

KOTA BHARU: Kelantan mengenal pasti tiga lagi lokasi untuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) susulan peningkatan mendadak jangkitan hingga mencecah lebih 900 kes sehari di negeri ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob, berkata pusat berkenaan bakal dibuka di Kuala Krai, Machang dan Pasir Puteh.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan lawatan tapak ke lokasi terbabit bagi meneliti kesesuaiannya, termasuk dari segi kemudahan diperlukan.

“Memandangkan banyak PKRC dibuka di Kota Bharu dengan hampir semua dewan utama sudah digunakan, kita terpaksa mencari di daerah lain yang dirasakan sesuai untuk menempatkan mereka yang positif COVID-19 dari seluruh Kelantan.

“Kita perlu mengambil pendekatan drastik mengenal pasti lokasi untuk membuka PKRC berikutan kes COVID-19 di negeri ini mencatat peningkatan mendadak.

“Sebelum ini, setiap PKRC yang dibuka mengambil masa tiga hari untuk penuh. Bagaimanapun, situasi kini adalah sebaliknya apabila setiap PKRC yang dibuka sudahpun penuh dalam masa sehari saja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PKRC Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di Tanjung Chat, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Dr Mohd Azman berkata, pihaknya akan memfokus asrama di kolej atau sekolah yang sudah ada kemudahan asas, untuk dijadikan PKRC supaya dapat mula beroperasi dengan lebih cepat.

Mengulas mengenai PKRC Dewan JKKN Kelantan pula, beliau berkata, pusat itu yang dapat memuatkan 220 katil termasuk katil bertingkat, juga berperanan sebagai PKRC khas sebagaimana PKRC Gelanggang Seni.

“PKRC ini akan menempatkan pesakit COVID-19 tahap tiga yang dipindahkan dari hospital kerana wad tidak mencukupi.

“Apabila keadaan pesakit telah stabil selepas menerima rawatan di hospital, mereka akan dipindahkan ke PKRC JKKN Kelantan.

“Pusat ini mempunyai kelengkapan perubatan dan dijangka mula menerima kemasukan pesakit, Selasa depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, PKRC Institut Latihan Perindustrian (ILP) yang juga pusat ke-14 serta mampu memuatkan 300 pesakit, sudah mula beroperasi, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top