nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kerajaan Kelantan mengingatkan semua penganjur supaya lebih bersedia menangani sebarang situasi bagi memastikan isu yang tular membabitkan penonton menari di konsert Makar Fest XL di Tunjung, Sabtu lalu, tidak berulang.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kejadian itu juga perlu dijadikan iktibar dan pedoman selain semua mesti mengambil tanggungjawab bukannya hanya memerhati mencari kesalahan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Makar Fest 2026, Issey Fazlisham yang berjiwa besar datang berjumpa saya sebagai wakil kerajaan Kelantan untuk memohon maaf dan menjelaskan apa yang berlaku.
“Saya difahamkan bahawa pihak penganjur sedaya-upaya cuba mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan dalam Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.
“Namun masih ada segelintir yang bertindak di luar kawalan. Kasihan juga apabila pihak penganjur terpaksa menanggung risiko sebegini disebabkan ada segelintir yang tidak memahami atau menghormati peraturan atau nilai setempat. Jangan jadi nila setitik yang akan merosakkan susu sebelanga,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, Kelantan sentiasa menjadi tumpuan dan pastinya bukan mudah untuk memastikan segalanya berjalan mengikut peraturan.
Katanya, undang-undang yang ada adalah sebagai panduan dan sempadan, namun tidak semua yang mematuhi walau sering diingatkan.
“Semua mesti mengambil tanggungjawab bukannya hanya memerhati mencari kesalahan. Suatu kesilapan yang berlaku hendaklah menjadi pedoman di masa hadapan.
“Saya juga mengambil peluang menjelaskan berkenaan dasar kerajaan Kelantan berhubung acara hiburan. Kita tidak melarang bahkan sebenarnya cuba menyediakan alternatif yang sesuai dengan hasrat dan dasar Membangun Bersama Islam serta nilai dan adat budaya setempat. Saya difahamkan Makar Fest ini sudah diadakan di serata negara. Ia memberi ruang untuk anak muda menjalankan aktiviti ekonomi dan mengenengahkan budaya rakyat Kelantan.
“Ia juga menjadi tempat anak-anak Kelantan di perantauan berhimpun dan berkumpul. Ini adalah usaha yang baik dan sudah tentu patut disokong,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan mendapati berlaku pelanggaran syarat dan garis panduan yang ditetapkan ketika persembahan dan tarian penonton konsert di program Makar Fest XL di Tunjung pada Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah dilaporkan berkata, perlanggaran syarat oleh penonton berlaku semasa persembahan Kugiran Masdo pada konsert penutup jam 10.30 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




