Pendakwah bebas direman sekali lagi, disyaki terbabit seleweng dana RM1.3 juta

Pendakwah bebas direman sekali lagi, disyaki terbabit seleweng dana RM1.3 juta

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Alor Setar: Seorang pendakwah bebas sekali lagi direman bersama seorang Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan di sebuah institusi pusat pendidikan serta dakwah negeri ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah selepas disyaki bersubahat dalam penyelewengan dana dianggarkan RM1.3 juta.

Perintah reman selama tiga hari sehingga Ahad ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, di sini, pagi tadi.

Sumber berkata, suspek seorang lelaki dan seorang wanita berumur sekitar 30-an ditahan semula kira-kira jam 6 petang semalam di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani bagi membantu siasatan kes berasingan.

Katanya, kedua-dua suspek sebelum itu direman selama sehari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani, sebelum dibebaskan pada jam 5 petang hari yang sama.

“Kedua-dua suspek, di mana pendakwah bebas tersebut yang juga Pengarah Urusan institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri ini direman buat kali kedua kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya.

“Pada masa yang sama, siasatan turut mendapati kedua-dua suspek meluluskan pembayaran untuk pembelian rumah bernilai kira-kira RM500,000,” katanya.

Semalam, kedua-dua individu terbabit direman bagi membantu siasatan selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pembayaran berjumlah kira-kira RM600,000 bagi tujuan kutipan dana institusi pendidikan dan dakwah berkenaan tanpa persetujuan rakan kongsi lain.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Oktober tahun lalu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, SPRM Kedah menahan reman dua individu termasuk seorang pendakwah bebas kerana disyaki bersubahat menyalah guna kuasa meluluskan kira-kira RM600,000 sebagai balasan bayaran mengumpul dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.

Perintah reman selama sehari terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Noorfazlina Musa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top