Pendakwah bebas, PU Syed tampil menegur isu pemakaian seorang anak selebriti yang didakwa tidak bersesuaian dengan imej sebagai seorang Muslimah.
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, PU Syed meluahkan kebimbangan terhadap beberapa video yang tular di media sosial memaparkan cara pemakaian remaja terbabit.
“Ayah artis dan juga peniaga, manakala arwah ibu juga artis. Kini anaknya dibiarkan berpakaian yang tak sesuai dengan sifat seorang Muslimah.
“Banyak video yang tersebar di media sosial tentang cara pemakaian anaknya itu,” katanya.
Dalam masa sama, PU Syed turut menyuarakan pandangan sekiranya ibu kandung remaja berkenaan masih hidup, berkemungkinan aspek penjagaan aurat akan diberi perhatian lebih rapi.
“Saya yakin, jika ibu kandungnya itu masih ada sudah pasti dia akan menjaga anak itu dengan lebih baik khasnya dalam urusan auratnya,” katanya lagi.
PU Syed turut mengingatkan ibu bapa supaya mengambil serius soal pendidikan agama dalam membentuk sahsiah anak-anak, terutama di akhir zaman ini.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Wahai ayah ibu sekalian didiklah anak-anak kita dengan cara agama sementelah lagi kita sedang berada pada hujung zaman yang penuh dengan tipu daya dunia,” katanya.




