Leeds: Leeds United melonjakkan peluang untuk kekal di Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan penting 3-1 ke atas seteru penyingkiran, Nottingham Forest, di Elland Road awal pagi tadi.
Skuad kendalian Daniel Farke itu mempamerkan aksi bertenaga apabila meledak dua gol dalam tempoh empat minit pada separuh masa pertama menerusi Jayden Bogle dan Noah Okafor untuk meletakkan tuan rumah di landasan tepat.
Dominic Calvert Lewin kemudian memastikan tiga mata penuh milik Leeds apabila menjaringkan gol ketiga sejurus selepas rehat, sekali gus menutup kebangkitan Forest yang sekadar memperoleh gol sagu hati lewat perlawanan menerusi Lorenzo Lucca.
Kemenangan itu menyaksikan Leeds kini sembilan mata di atas zon penyingkiran, sekali gus memberi nafas lega dalam misi mengelak kembali ke Liga Kejuaraan.
Forest yang menghuni tangga keempat tercorot pula kini hanya enam mata di hadapan West Ham di tempat ketiga tercorot, dengan jurang itu berpotensi dirapatkan jika West Ham menewaskan Burnley pada aksi penting.
Farke sebelum ini menyifatkan kutipan 12 mata daripada baki 14 perlawanan sudah memadai untuk memastikan kelangsungan Leeds di liga utama, dan kemenangan pertama mereka dalam tiga perlawanan liga itu dianggap langkah besar ke arah sasaran berkenaan.
“Kami mempamerkan mentaliti dan semangat juang yang hebat. Ini sisi berbeza pasukan kami. Kemenangan yang sempurna.
“Elland Road adalah kubu kami. Jika kami terus mempamerkan persembahan seperti ini, peluang untuk kekal sangat cerah,” katanya.
Sebaliknya, pengurus Forest, Sean Dyche, mengakui kekalahan pertama pasukannya dalam lima perlawanan liga berpunca daripada rombakan di benteng pertahanan, termasuk penampilan pertama Stefan Ortega dalam Liga Perdana Inggeris sejak April 2025 serta debut pemain remaja, Zach Abbott.
“Kami membuat perubahan saat akhir dan itu tidak ideal. Kami gagal melakukan perkara asas. Gol gol yang dibolosi tidak sepatutnya berlaku di tahap ini,” kata Dyche.
© New Straits Times Press (M) Bhd



