Penjual air didenda RM1,200, mengaku salah pukul penjual tebu

Penjual air didenda RM1,200, mengaku salah pukul penjual tebu

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, memerintahkan seorang penjual air membayar denda RM1,200 selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki gara-gara berang dipaksa membeli tebu.

Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Nor Haizan Nordin, 42, selepas mengambil kira pengakuan bersalah, rayuan tertuduh serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang penanam tebu berusia 39 tahun dengan memukul kepala mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di halaman sebuah rumah di Jalan Limau Nipis, Yong Peng, dekat sini, jam 7.30 malam, 5 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa datang ke rumah tertuduh untuk menjual tebu kepadanya.

Tertuduh kemudian memberitahu bahawa dia tidak mahu membeli tebu berkenaan kerana bekalannya masih mencukupi.

Bagaimanapun, mangsa terus memaksa tertuduh membeli tebu sehingga menyebabkan tertuduh berang sebelum memukul mangsa di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top