“Tangkap, humban mereka!”– PM Anwar beri amaran keras, jangan gugat keselamatan negara

“Tangkap, humban mereka!”– PM Anwar beri amaran keras, jangan gugat keselamatan negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada peserta perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram malam ini agar tidak mencabar undang-undang atau mengganggu keselamatan awam.

Beliau menegaskan, kebebasan bersuara dan hak untuk mengkritik kerajaan tetap dibenarkan, namun sebarang tindakan yang melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum bakal berdepan tindakan tegas.

“Kita lebih bebas sekarang. Nak beri pandangan boleh, nak kritik boleh.
“Tetapi, kalau kamu ganggu keselamatan negara atau cuba mencabar undang-undang. Percayalah, saya akan ambil tindakan maksima. Tangkap mereka dan humbankan mereka,”tegas Anwar ketika berucap dalam Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh; Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua PKR Cabang Klang, Azmizam Zaman Huri dan ramai lagi.

PM Anwar beri amaran keras

Beliau mengingatkan agar isu-isu sensitif tidak dieksploitasi dengan cara yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum Melayu, Cina dan India, sambil menegaskan bahawa keselamatan negara tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan.

“Kamu bukan hakim, kamu bukan polis dan jangan cuba ambil alih tugas polis,” ujarnya.

Ahli Parlimen Tambun itu juga menyatakan pendirian tidak setujunya dengan pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut undang-undang, sambil menegaskan peraturan berkenaan terpakai kepada semua.

“Kalau kita langgar peraturan, hasilnya kebencian dan masalah tidak akan selesai,” jelas Anwar.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan pihaknya tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah Sogo susulan risikan keselamatan dan maklum balas pihak terlibat, termasuk pemilik premis sekitar lokasi.

Artikel lain: Polis tak benarkan? Himpunan Anti Rumah Anutan Haram tetap diteruskan – Zamri Vinoth

Bagaimanapun, penceramah bebas kontroversi yang juga penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth, menegaskan perhimpunan itu tetap diteruskan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula memaklumkan polis akan bertemu penganjur bagi meminta mereka membatalkan perhimpunan memandangkan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengadakan lawatan rasmi dua hari bermula hari ini.

Sumber: Sinar Harian (Aisyah Basaruddin)

Scroll to Top