Tawar khidmat seks, 11 wanita Afrika ditahan"

Tawar khidmat seks, 11 wanita Afrika ditahan"

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 11 wanita disyaki pelacur dari benua Afrika ditahan awal pagi hari ini ketika menawarkan perkhidmatan persundalan di kawasan tumpuan di sekitar Bukit Bintang, di sini.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, serbuan dijalankan bermula 2 pagi oleh Bahagian D7 (kongsi gelap, judi, dan maksiat) dengan bantuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Risikan selama dua minggu mendapati wanita terbabit masuk sebagai pelancong terdiri daripada warganegara Ghana, Uganda dan Nigeria.

“Mereka menawarkan perkhidmatan seksual dengan kadar bayaran kira-kira RM200 dan menyasarkan pelanggan yang datang berhibur di sekitar kawasan terbabit,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, siasatan mendapati rata-rata daripada wanita berkenaan melakukan kegiatan tidak bermoral itu sejak sebulan lalu di kaki lima sekitar Bukit Bintang.

Katanya, sekiranya pelanggan berminat mereka akan melakukan perbuatan seksual di hotel bajet sekitar kawasan berkenaan atau mana-mana lokasi pilihan pelanggan.

“Hasil risikan juga mendedahkan kegiatan ini tidak dilindungi oleh mana-mana sindiket dan mereka dipercayai bergerak secara solo.

“Siasatan awal individu yang ditahan masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong seterusnya menjadikan kegiatan ini sebagai punca pendapatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua wanita berusia lingkungan 20 ke 30 an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, pasukan serbuan turut merampas sejumlah kondom yang dipercayai digunakan wanita terbabit bagi aktiviti tidak bermoral.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top