YANGON: Seorang bekas ratu cantik Myanmar kini menyertai kumpulan pemberontak etnik dan mengangkat senjata untuk menentang junta tentera negara itu.
Baru-baru ini, Htar Htet Htet, yang pernah mewakili Myanmar dalam pertandingan ratu cantik Miss Grand International di Thailand pada 2013, menyiarkan gambar dirinya memakai seragam gempur dan memegang senapang.
Lapan tahun kemudian, beliau pergi jauh ke dalam hutan dekat sempadan Myanmar, di kawasan yang dikuasai kumpulan bersenjata etnik.
“Masa sudah tiba untuk melawan, sama ada anda mengangkat senjata, pena, papan kekunci atau menyumbang wang kepada gerakan prodemokrasi.
“Setiap orang mesti berusaha gigih supaya revolusi ini berjaya.” tulisnya dalam paparan di Facebook, lapor AFP.
Myanmar kini bergolak dengan ekonominya kian lumpuh sejak tentera merampas kuasa pada 1 Februari lalu, menggulingkan pemerintah awam pimpinan Aung San Suu Kyi.
Junta tentera menggunakan kekerasan melampau untuk meredakan tunjuk perasaan orang ramai, namun tidak dapat mematikan semangat rakyat negara itu untuk terus turun ke jalanan dan menuntut demokrasi dikembalikan.
“Saya akan melawan seboleh yang mampu. Saya bersedia mengorbankan segalanya, malah saya bersedia mengorbankan nyawa saya,” tulis Htet Htet dari kawasan sempadan yang tidak diketahui.
Peserta Miss Grand Myanmar tahun ini, Han Lay, juga menjadi pengkritik junta tentera.
Rampasan kuasa pihak tentera Myanmar mengakhiri cubaan selama satu dekad negara itu dalam proses demokrasi selepas setengah abad di bawah pemerintahan tentera.
Lebih 800 orang awam terbunuh berikutan tindakan ganas pasukan keselamatan Myanmar untuk menghalang tunjuk perasaan secara besar-besaran.
Pihak tentera menembak penunjuk perasaan di jalanan, menangkap penduduk dalam serbuan waktu malam, mengurung wartawan dan mengarahkan gangguan Internet.
Ribuan orang dari kawasan bandar Myanmar melarikan diri ke kawasan sempadan, terutama penyokong Suu Kyi selain mereka yang menghadapi risiko ditangkap kerana terbabit dalam gerakan tunjuk perasaan dan mogok kerja.
Kumpulan pemberontak etnik bersenjata turut meningkatkan serangan terhadap tentera dan polis sejak beberapa bulan lalu, meningkatkan kemungkinan berlaku perang saudara yang lebih meluas.
Tentera pula membalasnya dengan serangan udara dan darat yang menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa melarikan diri dari rumah mereka di kawasan sempadan. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd

