zahratulhayat@nst.com.my
Ipoh: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta polis dan Perodua Kelisa di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku pada jam 3.35 petang membabitkan kereta polis jenis Honda Civic serta Perodua Kelisa yang bergerak dari arah bertentangan.
“Berdasarkan siasatan awal, Perodua Kelisa yang bergerak dari Jelapang ke arah Lumut dipercayai tiba-tiba hilang kawalan.
“Ia kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati, kereta polis berkenaan sedang dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Jelapang.
Akibat perlanggaran itu, katanya, pemandu kenderaan polis cedera pada kedua-dua belah kaki, manakala penumpangnya patah bahu kiri serta kecederaan pada kelopak mata kanan.
“Pemandu Perodua Kelisa berusia 34 tahun pula cedera di bahagian muka, manakala anak perempuannya berusia tiga tahun parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.
“Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada jam 4.32 petang ketika menerima rawatan di hospital,” katanya sambil menambah setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd



