am@hmetro.com.my
Kuala Krai : Biarpun kudrat tidak lagi sekuat dahulu dan masing-masing diuji dengan pelbagai masalah kesihatan, namun kasih sayang pasangan warga emas dari Kampung Enggong, di sini, terus mekar dan menjadi sumber kekuatan antara satu sama lain.
Mereka bukan sahaja saling menyayangi, malah bergantung sepenuhnya antara satu sama lain untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam serba kekurangan.
Razali Abdul Rahman, 78, yang menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk masalah jantung, kencing manis, darah tinggi dan gastrik tetap cekal memikul tanggungjawab menjaga isterinya, Siti Khadijah Mat, 73.
Lebih menyayat hati, Siti Khadijah hanya mampu mengengsot untuk bergerak sejak lebih 10 tahun lalu akibat masalah lutut yang serius. Keadaannya turut diburukkan dengan penyakit kencing manis dan darah tinggi yang sudah lama dihidapinya.
Menurut Razali, mereka pernah dikurniakan tujuh cahaya mata, namun empat daripadanya meninggal dunia ketika usia dewasa, manakala tiga lagi meninggal dunia sejurus dilahirkan.
“Kehilangan semua anak meninggalkan kesan mendalam, namun kami tetap tabah dan reda menerima ketentuan Ilahi.
“Walaupun kini, saya dan isteri hanya hidup bergantung harap antara satu sama lain, namun kami tabah menghadapi segala dugaan dengan saki baki usia yang masih ada,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Terdahulu Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed menyampaikan wang zakat dan barang keperluan asas bagi mengurangkan beban yang ditanggung pasangan warga emas berkenaan.
Tambah Razali lagi, dia sering bimbang memikirkan nasib mereka sekiranya salah seorang meninggal dunia terlebih dahulu, memandangkan selama ini mereka saling bergantung antara satu sama lain dalam segala hal.
Katanya, untuk meneruskan kehidupan, mereka hanya bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM300 yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kadang kala, kami juga mengharapkan belas ihsan jiran tetangga untuk menghulurkan makanan dan keperluan harian,” katanya.
Menurutnya, setiap kali menghadiri temujanji di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, mereka terpaksa meminta bantuan daripada jiran untuk menghantar mereka ke hospital.
“Mujurlah ada insan yang prihatin dengan kesukaran hidup kami. Tanpa bantuan mereka, tentu kami sukar untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpnanan Nasional (BSN) bernombor 0320029000067279 atas nama Razali Abdul Rahman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




