Pelakon versatile, Che Puan Sarimah Ibrahim tampil memberikan pandangannya mengenai teknik lakonan yang disifatkannya semakin disalah tafsir oleh segelintir pihak.
Menurut Sarimah, lakonan yang hebat tidak dinilai dari lontaran skrip yang lantang mahupun luahan emosi berlebihan sebaliknya, penjiwaan yang ditonjolkan adalah kunci utamanya.
“Berhenti menormalisasikan tangisan melampau, jeritan berlebihan dan lakonan yang keterlaluan sebagai tanda lakonan yang bagus.
“Lakonan yang baik ialah meletakkan diri sepenuhnya ke dalam watak tersebut,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Sarimah berkongsi perkara itu demi mengubah persepsi sesetengah pihak yang berpendapat lakonan yang hebat seharusnya disampaikan secara berlebihan agar mesejnya juga sampai kepada penonton.

Jelas pelakon drama popular TV3, Lelaki Itu, dalam dunia lakonan, pendekatan ‘exposition’ atau menyuap emosi secara terang-terangan kepada penonton bukanlah ukuran sebenar kehebatan seorang pelakon.
“Mungkin ramai yang tidak sedar, tapi dalam lakonan ‘exposition’ bukanlah lakonan yang baik. Menunjukkan dan menyuap emosi secara berlebihan kepada penonton bukan bermaksud ‘lakonan hebat’.
“Sebabnya begini, kebanyakan manusia dalam kehidupan seharian cuba menyembunyikan kesedihan, ketakutan dan kekecewaan. Kita jarang menunjukkan apa yang kita fikirkan atau rasakan,” ujarnya.




