am@hmetro.com.my
Temerloh: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah gerai menjual buah-buahan dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Temerloh-Mentakab, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 5.05 petang itu, mangsa berusia 46 tahun mengalami kecederaan pada bahagian muka dan menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Temerloh.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.24 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu sebuah Proton Wira Aeroback dari arah Temerloh menuju ke Mentakab sebelum dipercayai hilang kawalan apabila tiba di lokasi kejadian.
“Akibat hilang kawalan, kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan lalu merempuh sebuah gerai menjual buah-buahan.
“Kereta itu kemudian melanggar tiang elektrik sebelum merempuh sebuah lagi Proton Wira Aeroback yang diletakkan berhampiran gerai berkenaan menyebabkan bahagian hadapan dan belakang kenderaan mangsa rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Temerloh oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu,” katanya.
Mohd Nasyim berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
© New Straits Times Press (M) Bhd




