Bintang Arab 'berkampung' di Malaysia demi Mr VIP

Bintang Arab 'berkampung' di Malaysia demi Mr VIP

Kuala Lumpur: Ibu negara menjadi tumpuan dan lokasi pilihan bagi penggambaran sebuah filem mega terbitan negara Arab berjudul Mr VIP.

Naskhah hebat ini menggandakan keterujaan apabila menampilkan gandingan aktor sensasi terkenal, Karim Abdel Aziz bersama jelitawan, Yasmine Sabri.

Filem terbitan produksi gergasi dunia perfileman Arab, Synergy Plus dengan kerjasama Infinity Films yang diterajui Abdulrahman Suud ini, memilih Kuala Lumpur sebagai antara latar tempat utama bagi menarik penonton di Timur Tengah.

Diarahkan oleh Mootaaz El Tomy, penggambaran naskhah ini difahamkan berlangsung secara ‘privacy’ tanpa sebarang hebahan media sejak 21 Jun lalu, dan mengambil masa sekitar lebih dua minggu untuk disiapkan.

Meskipun kos pembikinannya dirahsiakan, projekini mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta badan-badan rasmi lain.

Antara yang turut memberikan kerjasama padu bagi melancarkan proses penggambaran termasuklah Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Penerbit Eksekutif Infinity Films, Abdulrahman Suud pihaknya merasa bangga kerana dapat mempromosikan Malaysia ke pasaran Timur Tengah.

Apatah lagi, dia sendiri sudah membesar di negara ini sejak puluhan tahun lalu dan pernah mencuba nasib dalam bidang lakonan tempatan.

“Boleh dikatakan lebih 40 peratus penggambaran filem ini disiapkan di Malaysia. Malah selepas berakhir penggambaran di sini, proses pos produksi juga bakal diadakan di Malaysia.

“Sepanjang tempoh penggambaran, kedua-dua produksi cuba ‘mengeksploitasi’ keindahan Malaysia sekali gus mempromosi pelancongan dan mempamerkan keindahan Malaysia serta rakyatnya,” katanya.

Tambah Abdulrahman yang juga seorang ahli perniagaan, hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Mesir menjadi pendorong utama pemilihan lokasi ini sebagai bukti kasih sayang antara kedua-dua negara.

Jejaka kelahiran Iraq yang berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1992 ini mengakui jiwanya sudah sebati dengan Malaysia.

Beliau berharap kerjasama ini akan membuka pintu kepada lebih banyak produksi TV dan filem Arab untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penggambaran utama pada masa hadapan.

Mengulas mengenai proses penggambaran yang dijalankan secara rahsia dan dikawal ketat, Abdulrahman menjelaskan ia adalah tuntutan dan polisi kerja produksi demi menjaga privasi bintang utamanya.

“Memang agak ketat sebenarnya cara dan polisi kerja produksi filem ini. Ia juga didorong dengan sebab kemasyhuran aktor otai, Karim Abdel Aziz.

Beliau dianggap sebagai bintang nombor satu di sana dan mampu menarik peminat serta penonton untuk serbu ke pawagam.

“Pendek kata, pelakon berkenaan antara pelaris dan paling mahal di sana. Malah gambar atau ‘footage’ penggambarannya di set atau lokasi juga tidak boleh didedah atau dikongsi sewenang-wenangnya,” jelasnya lagi.

Filem bercorak komedi sosial ini merupakan gandingan kedua buat Karim dan Yasmine sebagai pasangan suami isteri.

Selain mereka, filem ini turut dibintangi pelawak terkenal Mesir, Mostafa Khater, serta membabitkan kerja keras 220 orang kru tempatan bersama 33 kru dan artis dari Mesir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top