Anwar mahu dikenang sebagai pemimpin penuh kasih dan sayang

Anwar mahu dikenang sebagai pemimpin penuh kasih dan sayang

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu dikenang sebagai seorang pemimpin yang mempunyai perasaan kasih dan sayang terhadap rakyat Malaysia berbilang kaum selepas pencen kelak.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sehubungan itu berkata, adalah penting buat dirinya menjadi penjaga dan pembela kepada kebajikan rakyat secara menyeluruh, bukan sahaja kepada masyarakat Melayu.

“Saya sebagai Perdana Menteri perlu berkhidmat kepada semua, sebab ‘i must show i love my people’.

“Saya bukan muda, sudah tua, esok pencen orang akan tanya berkenaan saya, siapa Anwar Ibrahim. Orang Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak akan kata Anwar ini sayang rakyat dan rakyat sayang dia,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama PMX di Restoran Cathay Eco Springs, di sini malam ini.

Tambah Anwar, itu merupakan antara sebab beliau komited untuk menjaga nama baik Malaysia dan memastikan negara ini kekal maju, membangun dan makmur buat semua rakyatnya.

“Kita jaga negara, dan negeri sama-sama, itu baru berhasil. Mana ada negara di rantau ini yang berjaya seperti kita, pembangunan, pelaburan dan aman. Ini contohnya, ingat pusat data akan masuk ke Johor, ke Kedah, ke Negeri Sembilan, ke Melaka jika negara tidak aman ke, tak.

“Kita mahu semua negeri berjaya, kalau negeri dan pusat selari, senang kerja. Ini tidak, saya cakap sedikit sahaja mereka nak gaduh, saya datang Johor bukan untuk bergaduh,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat bahawa nama dan imej negara kini diterima baik pemimpin dan komuniti antarabangsa termasuklah dari Amerika Syarikat, China, negara Eropah dan juga negara-negara Arab.

“Sekarang saya ada peluang jaga negeri, jaga negara. Jadi saya harap kawan-kawan pada hari mengundi nanti, undi betul-betul kerana prestasi negara kita sekarang agak baik,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top