kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.
Ini menandakan OPR berada pada paras berkenaan buat kali kelapan berturut-turut sejak Julai 2025.
BNM berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Menurutnya, ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026 walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar, disokong prestasi eksport lebih kukuh daripada jangkaan serta permintaan dalam negeri yang mampan.
“Momentum pertumbuhan yang utuh dijangka membawa pertumbuhan ekonomi 2026 kepada sekitar lima peratus, manakala asas ekonomi yang kukuh dijangka terus menyokong daya tahan pertumbuhan pada 2027,” katanya dalam Pernyataan Dasar Monetari hari ini.
Bank pusat itu berkata, pertumbuhan akan terus disokong sektor luaran susulan prospek pertumbuhan global yang bertambah baik, selain permintaan yang kukuh terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport bukan E&E berkaitan teknologi.
BNM berkata, perbelanjaan pelancong yang berterusan, keadaan pasaran pekerja yang stabil dan aktiviti pelaburan juga dijangka terus menyokong permintaan dalam negeri.
Dalam pada itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi tujuh bulan pertama 2026 masing-masing berpurata 1.8 peratus dan dua peratus.
BNM berkata, meskipun kos kekal tinggi dan pertumbuhan ekonomi kukuh, tekanan terhadap harga pengguna masih terkawal berikutan langkah dasar dalam negeri serta keadaan permintaan yang stabil.
Bagaimanapun, perkembangan konflik di Timur Tengah kekal tidak menentu, dengan harga komoditi global yang tinggi terus memberi tekanan menaik terhadap kos.
“Berikutan perkembangan yang masih berubah-ubah, MPC akan terus memantau keadaan tekanan kos dan permintaan dalam negeri memandangkan kesan kedua-dua faktor ini terhadap prospek inflasi,” kata BNM.
BNM berkata, pertumbuhan global ketika ini kekal berdaya tahan, disokong pengembangan teknologi global yang kukuh, keadaan bekalan yang bertambah baik dan pasaran pekerja yang stabil.
Namun, risiko pertumbuhan global yang lebih rendah masih wujud berikutan ketegangan geopolitik berpanjangan, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan terhadap penilaian dalam pasaran kewangan.
Pada masa sama, potensi pertumbuhan lebih tinggi boleh didorong perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh, pemulihan rantaian bekalan lebih pantas daripada jangkaan serta langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara maju.
BNM berkata, inflasi global dijangka kekal tinggi susulan kesan tertunda pindahan kos tenaga kepada harga pengguna, walaupun inflasi menunjukkan sedikit penurunan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Pada masa hadapan, ketidaktentuan berkaitan konflik di Timur Tengah akan terus mempengaruhi pertumbuhan global berikutan tekanan inflasi yang berterusan, namun kesannya dijangka diimbangi oleh perbelanjaan berkaitan teknologi yang mampan,” katanya.
MPC akan terus memantau perkembangan semasa serta menilai imbangan risiko terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi dalam negeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd

