suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Bila nak jumpa lagi ni bang, nanti kita jumpa ya.”
Itulah kata-kata terakhir Roezah Abdul Hamid, 78, ketika mencium jenazah suaminya, Alias Panjang Aris, 84, sebelum menyaksikan lelaki yang dikahwininya itu dikebumikan pada pagi 27 Ogos lalu.
Tidak disangka, beberapa jam kemudian, Roezah pula menghembuskan nafas terakhir, menjadikan pemergian pasangan itu berlaku dalam tempoh kurang 24 jam.
Berkongsi kisah itu, cucu mereka, Muhammad Haziq Azmin, 24, berkata, datuknya meninggal dunia pada 26 Ogos lalu kira-kira 7.56 malam sebelum selamat dikebumikan sekitar 11 pagi keesokannya.
Menurutnya, keadaan datuknya sememangnya sudah kritikal selepas dimaklumkan doktor, menyebabkan keluarga sudah bersedia menerima pemergiannya.
“Pada pagi berkenaan, opah (Roezah) sempat melihat atuk dimasukkan ke dalam liang lahad dan dikebumikan.
“Opah turut menyiram kubur atuk serta sempat berbual dengan saudara-mara selepas selesai pengebumian,” katanya kepada Harian Metro.
Haziq berkata, kira-kira jam 3.50 petang, neneknya yang mahu mandi tiba-tiba tidak larat untuk bangun sebelum ibu saudaranya menyedari keadaan neneknya kelihatan lain daripada biasa.
Katanya, neneknya kemudian memberitahu tidak boleh bernafas sebelum menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas itu, sekali gus mengejutkan seluruh keluarga.
“Saya masih teringat apa yang opah cakap ketika mencium jenazah atuk. Tidak sangka, secepat itu opah pergi,” katanya.
Menurut Haziq, neneknya tidak mempunyai sebarang sakit dan sempat menguruskan banyak perkara berkaitan pengebumian datuknya pada pagi berkenaan.
Katanya, individu yang menguruskan kubur turut tidak menyangka neneknya meninggal dunia tidak sampai 24 jam selepas pemergian datuknya.
“Orang yang menguruskan kubur pun macam tidak percaya kerana selalunya kematian pasangan berlaku dua atau tiga hari selepas pemergian salah seorang, tetapi pemergian opah tidak sampai 24 jam,” katanya.
Haziq berkata, datuk dan neneknya menjaganya sejak kecil ketika ibu bapanya keluar bekerja, menyebabkan kehilangan pasangan itu masih sukar diproses sehingga kini.
Katanya, tarikh pemergian Alias pada 26 Ogos turut mengingatkannya kepada arwah bapanya yang meninggal dunia pada tarikh sama pada 2017.
“Pasangan sehidup semati, insya-Allah pasangan syurga opah dan atuk.
“Semoga arwah opah dan atuk ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

