Penampilan Amira Othman Dikritik, Disamakan Seperti Terung… Pemilik Jenama Enggan Melatah: “Saya Jadikan Perkara Negatif Sebagai Positif”

Penampilan Amira Othman Dikritik, Disamakan Seperti Terung… Pemilik Jenama Enggan Melatah: “Saya Jadikan Perkara Negatif Sebagai Positif”

Usahawan sensasi, Datuk Adzliana Hasan mengulas mengenai duta jenama fesyen miliknya, penyanyi Amira Othman yang menjadi bahan kritikan netizen.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Amber ini, dia sedar mengenai perkara itu dan tidak mahu mengulas kritikan yang diterima dengan lebih lanjut.

“Terjejas itu, tidak. Tak perlu saya ulas, walau ada yang memberitahu saya. Lebih ramai orang sebut mengenai kita, lebih tinggi penjenamaan anda. Bila orang cakap lebih banyak negatif mengenai duta saya atau sebagainya, itu saya lihat ke arah yang lebih baik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Amira Othman Tenang Hadapi Kecaman Perihal Penampilan & Fesyen, Pilih Fokus Perkara Positif

Selain Amira, koleksi fesyen Amber melantik Fattah Amin, Hael Husaini, Nora Danish dan Scha Alyahya sebagai wajah jenama sempena Syawal.

Dalam pada itu, Adzliana juga memandang semua kritikan ke arah sudut positif.

“Rasa sedih itu tidak sepatutnya, tapi saya dan semua wajah jenama ini sudah seperti keluarga. Jika ada yang ‘down’, sudah pasti kita akan saling menyokong satu sama lain. Nora akan sokong Amira, Amira akan sokong Nora, kalau seorang rasa, semua akan rasa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Tak Buat Salah Pun Kena” – Amira Othman, Fattah Amin Tenang Hadapi Kecaman Netizen

“Saya tak ambil perkara negatif terhadap jenama saya, saya hanya berfikir dan membuat yang lebih baik. Saya jadikan perkara negatif kepada positif,” katanya lagi.

Terdahulu, jenama ini memperkenalkan kempen Aidilfitri terbaharu bertemakan Amber Eid’s Time For Love, sekali gus menampilkan koleksi raya 2026 yang mengetengahkan sentuhan lembut, nilai kebersamaan dan makna kekeluargaan sempena Syawal.

“Bagi kami, Aidilfitri bukan hanya tentang pakaian cantik. Ia tentang masa yang diluangkan bersama keluarga dan orang tersayang. Sebab itu setiap rekaan cuba membawa rasa sentimental supaya ia boleh dipakai dan dikenang lama,” katanya.

Tambahnya, sesi fotografi kempen raya dijalankan di Istanbul kerana kota itu mempunyai nilai sejarah dan budaya Islam yang kuat, sekali gus selari dengan konsep koleksi kali ini.

“Istanbul ada elemen klasik dan nostalgia yang sesuai dengan tema kami. Suasananya membantu menterjemahkan mood koleksi dengan lebih dekat,” katanya.

Bagi koleksi utama, Amber memperkenalkan beberapa pilihan busana wanita dan lelaki yang diinspirasikan daripada seni bina serta warisan kota berkenaan. Potongan yang lebih ringan, fabrik selesa dan siluet longgar menjadi keutamaan bagi memastikan keselesaan sepanjang Syawal.

Rekaan wanita menampilkan elemen lembut seperti ruffle halus, sulaman dan potongan flowy, manakala koleksi lelaki pula lebih ringkas dengan gaya moden menggunakan fabrik kapas serta warna-warna neutral yang mudah digayakan untuk majlis atau kegunaan harian.

Dalam masa sama, Amber turut memperkenalkan barisan eksklusif pertama dikenali sebagai Amber LUXE. Koleksi ini menggunakan material seperti satin dan chiffon sutera dengan kemasan yang lebih terperinci, sesuai bagi mereka yang menggemari gaya klasik dan sofistikated.

Secara keseluruhan, koleksi raya 2026 disifatkan sebagai gabungan rekaan moden dan tradisional yang menitikberatkan keselesaan serta nilai sentimental, seiring semangat perayaan yang meraikan kasih sayang dan kebersamaan.

Semua koleksi boleh didapati menerusi laman web rasmi Amber, manakala pembelian di butik fizikal akan dibuka di IOI City Mall, Putrajaya dalam masa terdekat.

Scroll to Top