suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan komitmen penuh bagi menyokong Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam memastikan projek MyKiosk diperkukuh dan syor penambahbaikan dilaksanakan dengan berkesan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, sambutan positif KPKT terhadap cadangan berkenaan mencerminkan iltizam kerajaan untuk memperbaiki kelemahan yang dikesan.
“Justeru, masyarakat perlu adil dalam membuat penilaian berkaitan projek MyKiosk dan tidak melihat kepada kelemahan semata-mata tetapi apa yang lebih penting melihat kepada kesungguhan KPKT dalam melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan SPRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM mengemukakan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada KPKT berhubung pengurusan dan pelaksanaan projek MyKiosk.
Cadangan itu merangkumi pelaksanaan kajian keperluan menyeluruh termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi, meningkatkan pencapaian projek MyKiosk MADANI dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta menubuhkan unit atau jawatankuasa khas bagi memantau keberkesanan dan kejayaan projek.
Terdahulu media melaporkan, dakwaan bahawa projek MyKiosk sebagai ‘gajah putih’ adalah tidak tepat susulan ia telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara.
KPKT menerusi kenyataan memaklumkan, semakan dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati hingga Julai 2025, kadar pengisian MyKiosk 1.0 telah mencapai 91.75 peratus, manakala MyKiosk 2.0 pula mencapai 86.78 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




