mhafis@mediaprima.com.my
Genting Highlands: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti terlebih dahulu dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.11 bilion yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kanan sebelum kertas siasatan dibuka.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya baru sahaja menerima aduan berkenaan dan memerlukan masa untuk membuat semakan terlebih dahulu.
“Saya sahkan aduan itu selepas tiga badan bukan kerajaan hadir ke SPRM membuat aduan mengenai perkara itu.
“Namun, setakat ini saya berharap diberi sedikit masa terlebih dahulu bagi meneliti dokumen-dokumen yang diserahkan kepada kami sebelum tindakan seterusnya dibuat,” katanya selepas Majlis Penutup Bengkel Kewartawanan SPRM di sini, hari ini.
Menurutnya sekiranya ada, SPRM akan siasat mengikut akta yang tertakluk (Akta SPRM 2009).
Harian Metro melaporkan dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.11 bilion yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kanan di sebuah kementerian kini dalam penelitian SPRM.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkaitan dakwaan penyelewengan pelaburan itu.
Katanya, laporan itu diterima daripada gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada kira-kira jam 2 petang semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




