am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: Tiga beranak yang maut dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori di Bukit Talang, Jalan Raja Musa, di sini, semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, awal pagi hari ini.
Jenazah Norawalysa Mat Talpi, 44; Auni Syazana Suhaimi, 12; dan Ahmad Syah Fawwaz Suhaimi, 8; dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Serong di sini,
1 pagi tadi.
Terdahulu, kesemua jenazah dimandi dan dikafankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Tanjong Karang sebelum dibawa ke Masjid Darul Iman, Kampung Parit Serong untuk disolatkan.
Kira-kira 2,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Suasana pilu ketika ketiga-tiga jenazah dibawa ke tanah perkuburan. untuk disemadikan.
Sementara itu, suami mangsa, Suhaimi Mohamad Jajuli, 44, berterima kasih kepada semua pihak yang hadir memberikan sokongan dan membantu keluarga mereka sepanjang pengurusan jenazah tiga beranak itu.
“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan oleh Allah. Terima kasih tidak terhingga kepada semua,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Suhaimi memaklumkan anak lelakinya yang terselamat dalam kemalangan itu, Ahmad Syah Fitri, 10, stabil dan sudah sedarkan diri.
“Dia kini dipindahkan ke wad biasa namun masih dalam pemantauan doktor.
“Selepas pemergian isteri dan dua anak, amanah yang sedia ada saya akan galas dengan sepenuh jiwa raga,” katanya.
Terdahulu, tiga beranak itu maut sejurus MPV Proton Exora dinaiki melanggar belakang sebuah lori, kira-kira 1.30 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati lori yang dirempuh MPV terbabit, sebelum itu berhenti di bahu kiri jalan kerana tayar pecah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




