suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang individu mengalami kerugian RM10,313 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pembelian emas lelong menerusi aplikasi Telegram, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu selepas aduan dibuat kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
“Laporan diterima Rabu lalu pada jam 1.02 tengah hari. Kes membabitkan kerugian sebanyak RM10,313.
“Modus operandi adalah tipu dalam urusan pembelian secara atas talian,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, pengadu menerima panggilan daripada mangsa yang memaklumkan dirinya ditipu dalam urusan pembelian emas lelong melalui Telegram dan mengalami kerugian RM10,313.
Beliau berkata, mangsa membuat lima transaksi bayaran ke akaun bank yang diberikan suspek.
“Pengadu membuat laporan sebagai maklumat pertama (FIR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




