Jerebu: Sekolah, institusi pendidikan KPM di Selangor tutup mulai esok

Jerebu: Sekolah, institusi pendidikan KPM di Selangor tutup mulai esok

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor diarahkan tutup sepenuhnya mulai esok susulan jerebu teruk yang melanda.

Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, penutupan berkuat kuasa esok itu akan berterusan sehingga dimaklumkan semula oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Beliau berkata, arahan berkenaan selaras dengan kenyataan media KPM hari ini yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.

“Sehubungan itu, sekolah hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.

“Guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa.

“Ibu bapa dan penjaga dimohon mengikuti perkembangan dan makluman rasmi daripada JPN Selangor dari semasa ke semasa, khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan,” katanya dalam satu pemakluman, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Nor Asyikin turut menasihatkan ibu bapa serta penjaga agar tidak membuat sebarang andaian berkaitan pembukaan sekolah dan hanya merujuk kepada makluman rasmi JPN Selangor dan KPM.

Katanya, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dimohon memastikan makluman ini disampaikan kepada semua sekolah, institusi pendidikan, guru, AKP, ibu bapa serta penjaga dan murid di daerah masing-masing.

“Pihak sekolah hendaklah terus membuat pemantauan keadaan semasa dan mengutamakan keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid dan warga pendidikan.

“Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terletak di kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 diarahkan tutup mulai esok.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dilapor berkata, arahan itu turut membabitkan kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut, dengan penutupan bermula Isnin, 12 Oktober.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top