Jerebu: Melaka turut umum semua sekolah tutup esok

Jerebu: Melaka turut umum semua sekolah tutup esok

Melaka: Semua sekolah di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh Melaka ditutup esok susulan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ke tahap tidak sihat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata keputusan itu dibuat selepas pemantauan berterusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan laporan rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati bacaan IPU di kawasan utama negeri itu telah melepasi 150.

Menurutnya, penutupan berkenaan turut membabitkan semua Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta tadika.

Beliau tidak menolak kemungkinan sekolah turut ditutup pada Isnin hadapan sekiranya bacaan IPU kekal melebihi 150 sepanjang Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“JPN Melaka memutuskan semua sekolah ditutup pada 9 Oktober (esok) berikutan keadaan kualiti udara yang berada pada tahap tidak sihat.

“Bagaimanapun, keputusan itu masih tertakluk kepada makluman rasmi pihak berkuasa selepas pemantauan berterusan JPN Melaka dan laporan JAS mengenai keadaan kualiti udara di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, langkah berkenaan diambil bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga sekolah sentiasa terjamin.

“Penutupan itu membabitkan sekolah di tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

“JPN Melaka bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negeri akan terus memantau keadaan jerebu dari semasa ke semasa mengikut garis panduan ditetapkan KPM,” katanya.

Jelas beliau, sebarang perkembangan atau perubahan berkaitan sesi persekolahan seterusnya akan dimaklumkan melalui saluran rasmi.

“JPN Melaka turut meminta kerjasama ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengutamakan kesihatan anak-anak sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Rahmad memaklumkan semua sekolah di Melaka akan ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah paras 200.

Beliau berkata ketika itu, bacaan IPU di negeri berkenaan berada pada paras 172.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top