Pengalaman menghadiri sebuah program di Madrasah India Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini, memberi perspektif baharu buat pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz.
Buat julung kalinya, PU Riz, 31, berhadapan dengan khalayak ceramah yang keseluruhannya terdiri daripada masyarakat India.
“Biasa ‘crowd’ yang dengar ceramah saya orang Melayu. Tapi buat kali pertama yang semuanya, saya ulang, semuanya bangsa India,” katanya.
Suami kepada selebriti, Neelofa itu meluahkan rasa teruja melihat semangat tinggi yang ditunjukkan peserta untuk menimba ilmu serta mempertingkatkan taraf kehidupan, khususnya dalam kalangan golongan B40.
Dalam pada itu, PU Riz turut memuji langkah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang sentiasa komited memperkasa masyarakat menerusi saluran bantuan, geran kemasyarakatan serta program latihan kemahiran.
“Inisiatif seumpama ini penting bagi memastikan peluang mendapatkan ilmu, meningkatkan kemahiran, serta membina kehidupan lebih baik dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum.
“Kita doakan semua, tidak kira bangsa, khususnya di negara ini memperoleh satu kekuatan ilmu yang tertinggi, insya-Allah,” ujarnya.
Untuk rekod, inisiatif KESUMA bersifat inklusif dengan turut menyalurkan bantuan kepada pelbagai komuniti lain, termasuk penganjuran program ceramah dan peluang pekerjaan yang disertai puluhan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sebelum ini
© New Straits Times Press (M) Bhd




