FINAS tampil perbetulkan salah tanggapan kalangan penggiat seni berkaitan status muflis menyebabkan kesukaran perjalanan kerjaya seni

FINAS tampil perbetulkan salah tanggapan kalangan penggiat seni berkaitan status muflis menyebabkan kesukaran perjalanan kerjaya seni

serimah.sallehuddin@bh.com.my

Isu muflis dalam kalangan penggiat seni tanah air kini berada pada tahap membimbangkan apabila ada antara mereka dikesan tidak lagi mempunyai akaun bank hingga terpaksa meminta bayaran kerja dibuat secara tunai.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata situasi itu menyulitkan agensi kerajaan seperti FINAS yang terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) perbankan rasmi.

“Sebagai contoh, apabila FINAS mahu membantu artis dengan menjemput mereka menjadi pengacara, penceramah atau pembimbing program, kita perlukan dokumen sokongan termasuk penyata akaun.

“Apabila mereka tiada akaun kerana diisytiharkan bankrap, pembayaran tidak dapat dilakukan,” katanya.

Azmir berkata demikian ketika tampil sebagai ahli panel Forum Seni, Populariti dan Survival Kewangan: Memperkasa Industri Kreatif Melalui Dasar Peluang Kedua, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau turut mendedahkan salah faham segelintir artis yang menyangka status muflis memberi ‘kelebihan’ kerana tidak perlu membayar cukai pendapatan, sedangkan ia hanya memudaratkan kerjaya mereka dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, ketiadaan pengurusan profesional yang merancang kewangan jangka panjang serta ketiadaan ilmu keusahawanan menjadi punca utama anak seni mudah terjerumus dalam kemelut hutang dan pelaburan palsu.

Bagi menangani isu berkenaan, FINAS kini memperkukuh kerjasama strategik menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Langkah itu merangkumi bimbingan kewangan serta penerokaan ruang perundangan di bawah MdI bagi membolehkan saluran bantuan atau bayaran kerja diagihkan secara sah kepada penggiat seni berstatus bankrap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top