am@hmettro.com.my
Kuala Lumpur: Kurang 24 jam selepas 17 pemimpin BERSATU dipecat, pekarangan rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menjadi tumpuan ahli politik dan petugas media.
Kediaman Presiden BERSATU itu menjadi tumpuan susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti berkenaan yang dijadual diadakan pada jam 10 pagi ini.
Antara pemimpin yang tiba ialah Setiausaha Agung BERSATU merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kira-kira jam 9.40 pagi tadi.
BERSATU semalam, dilaporkan memecat 17 ahlinya membabitkan beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Mereka ialah Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Larut dan Ketua Pembangkan Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
ADUN Sungai Manik merangkap Ahli MPT, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Bemban merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Setiausaha BERSATU Sabah merangkap Ketua BERSATU Libaran, Yunus Nurdin.
Selain itu, Ketua BERSATU Teluk Intan Kamaruddin Majid; Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd Hassundi Hamzah (Larut) dan Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun).
Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda BERSATU Sabah, Nabila Norsahar dan Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Keahlian mereka dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU, selainberhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikemukakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




