am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis mengesan seorang lelaki yang menyelinap masuk ke sebuah gerai buah-buahan dalam pasar raya di Setia Alam dan melarikan wang tunai dalam kaunter jualan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.05 petang, Khamis lalu selepas mendapati gerainya diselongkar dan wang tunai berjumlah RM200 hilang.
Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian sebenar berlaku lebih awal pada hari sama, kira-kira jam 8.18 pagi ketika suasana masih lengang dan premis baharu memulakan operasi.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki tidak dikenal pasti, berpakaian serba hitam, memakai topi, penutup muka serta sarung tangan, memasuki gerai berkenaan.
“Suspek dipercayai mengumpil dan menyelongkar peti jualan sebelum melarikan diri bersama wang tunai.
“Suspek juga kelihatan berpura-pura sebagai pekerja sedang membuka gerai jualan serta membuang sampah sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Katanya, pihak polis kini giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Aznor Zainal di talian 017-3989155,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




