London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui kebimbangan terhadap senarai kecederaan yang semakin panjang mampu menjejaskan misi memburu empat trofi musim ini.
Arsenal mara ke pusingan kelima Piala FA selepas membelasah Wigan 4-0, namun kemenangan itu dicemari kecederaan membabitkan Riccardo Calafiori dan Ben White.
Calafiori mengalami masalah ketika sesi pemanas badan pra perlawanan, manakala White terpaksa dikeluarkan pada babak kedua.
Kapten pasukan Martin Odegaard tidak diturunkan selepas mengalami kecederaan ringan ketika seri 1-1 menentang Brentford.
Selain itu, Kai Havertz dijangka terlepas aksi sepanjang bulan ini, manakala Mikel Merino berkemungkinan tidak beraksi sehingga akhir musim selepas menjalani pembedahan kaki.
“Dulu penyerang, kemudian pertahanan, sekarang pemain tengah pula,” kata Arteta.
Arsenal kini mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan empat mata, sudah berada di pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dan bakal berdepan Manchester City dalam final Piala Liga.
Skuad The Gunners akan bertemu Wolverhampton Wanderers sebelum aksi tetangga London Utara menentang Tottenham Hotspur minggu depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




