Lapan 'try' Perancis hancurkan Wales

Lapan 'try' Perancis hancurkan Wales

Cardiff: Pemain flyhalf Perancis, Matthieu Jalibert mempamerkan aksi kelas dunia ketika membantu negaranya membelasah Wales 54-12 dalam aksi Kejohanan Enam Negara di Stadium Principality, semalam.

Perancis mengumpul lapan try dalam kemenangan bonus itu, sekali gus memimpin carta dengan 10 mata maksimum selepas dua perlawanan.

Kemenangan 54 mata itu adalah jumlah tertinggi pernah dicatatkan Perancis ke atas Wales, mengatasi rekod 51-0 pada 1998, dan menjadi kemenangan terbesar mereka di Cardiff.

Jalibert menjadi arkitek utama serangan dengan sepakan taktikal dan kreativiti membuka ruang, manakala Theo Attissogbe meledak dua try.

Fabien Brau Boirie turut mencipta impak dengan try pada penampilan sulungnya.

Turut menyumbang try ialah Emilien Gailleton, Louis Bielle-Biarrey, Julien Marchand dan Charles Ollivon ketika pertahanan Wales gagal mengekang asakan lawan.

Wales kini tercorot selepas dua kekalahan dan sudah bolos 102 mata setakat ini, termasuk 13 kekalahan berturut-turut dalam kejohanan itu.

Kapten Wales, Dewi Lake mengakui moral pasukan terjejas, namun menegaskan mereka masih dalam proses membina semula.

“Kami lebih baik berbanding minggu lalu, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.

Wales hanya mencatat dua try menerusi Rhys Carre dan Mason Grady, manakala kadar kejayaan tackle mereka sekadar 68 peratus dengan 31 tackle terlepas.

Kehadiran 57,744 penonton adalah paling rendah bagi aksi Enam Negara di Cardiff, satu petanda kebimbangan buat kesatuan ragbi Wales.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top