Brahim's Dewina serah kurma Ajwa, air mineral kepada surau dan masjid

Brahim's Dewina serah kurma Ajwa, air mineral kepada surau dan masjid

Bangi: Kumpulan Brahim’s Dewina menyerahkan 400 karton kurma Ajwa (seberat tiga kilogram) dan 1,187 karton air mineral untuk diagihkan ke masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sempena Ramadan.

Sumbangan ini hasil inisiatif ‘Kongsi Rezeki Kongsi Rasa’ 2026 yang dilancarkan di lobi Pejabat Kumpulan Brahim’s Dewina, di sini.

Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad kepada Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Brigedier General (Kehormat) Datuk Mohd Ajib Ismail; Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid JAWI, Sharidah Zainal; Pengasas bersama Food Aid Foundation, Mohamad Faisal Ghazali, serta disaksikan oleh Pengarah Dewina Holdings Sdn Bhd, Fahimi Ibrahim.

Program ini adalah tradisi Kumpulan Brahim’s Dewina sejak tahun 2020.

Ia memberi fokus kepada usaha menyantuni komuniti melalui ‘sedekah buah kurma dan air mineral’ bagi menyokong keperluan berbuka puasa di masjid dan surau, termasuk kawasan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Hulu Langat/Bandar Baru Bangi dan Putrajaya.

Ibrahim berkata, inisiatif ini diharap dapat memberi manfaat kepada jemaah sepanjang Ramadan.

“Kami berharap sumbangan ini dapat dikongsi bersama dan menjadi pemudah bagi jemaah yang berbuka puasa di masjid dan surau.

“Semoga ia membawa keberkatan serta mengeratkan semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top